Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my
MENONGKAH arus perubahan dalam era modenisasi serta sains dan teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menggalas cabaran besar untuk menempatkan diri di kalangan institusi pengajian tinggi (ITPT) bertaraf antarabangsa. Sebagai universiti tertua negara iaitu ditubuhkan pada 1904, UTM perlu bergerak lebih jauh dan berada dalam kelas tersendiri.
Ironinya, universiti itu yang bermula sebagai Sekolah Teknik Treacher di Brickfields, Kuala Lumpur kini diterajui oleh Naib Canselor termuda, iaitu Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang. Pemilik nama besar dalam bidang kejuruteraan alam sekitar ini diberi kepercayaan memimpin universiti itu bermula 1 Ogos lalu, iaitu ketika berusia 42 tahun. Dalam semangat dan corak kerja orang muda yang lebih dinamik, Zaini pastinya mempunyai perancangan dan hala tuju yang agak berbeza dalam mengemudi UTM. Antara yang menjadi tumpuan ialah untuk membawa universiti berkenaan mencapai status sebagai sebuah universiti penyelidikan.
Bergerak ke arah itu, UTM meletakkan sasaran melahirkan 50 peratus pelajar ijazah lanjutan menjelang 2011 berbanding hanya 35 peratus ketika ini. Di peringkat ijazah pertama, tumpuan akan diberikan kepada aktiviti penyelidikan berbanding kerja-kerja pengajaran. Malah, pengambilan pelajar serta kursus pengajian yang dilihat tidak relevan dan gagal melahirkan ramai pelajar terbaik di peringkat ini turut dikurangkan. UTM juga berhasrat melahirkan 60 peratus pensyarah dengan kelayakan Doktor Falsafah (PhD) menjelang 2011. Ia termasuk seramai 200 pensyarah muda dari luar negara sepanjang tahun ini. Menurut Zaini, keutamaan kepada pensyarah muda itu bagi membolehkan mereka menjalankan penyelidikan lanjutan sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun. Pensyarah muda itu juga tambah beliau, akan bertindak sebagai duta UTM apabila berpindah ke universiti lain sekali gus membina jambatan kerjasama pada masa depan.
''Dalam persekitaran pendidikan tinggi global yang semakin kompetitif ketika ini, kerjasama dengan universiti luar adalah sangat penting bagi membolehkan kita dikenali," jelas Zaini. Pendekatan itu juga selaras dengan tumpuan UTM yang mahu memperluaskan jaringan kerjasama dengan universiti bertaraf antarabangsa. Ia termasuk kerjasama penyelidikan, kursus pengajian, pertukaran pelajar serta kakitangan dan sebagainya. Kerjasama itu juga dibuat berdasarkan kerangka yang lebih tersusun supaya boleh dilaksanakan dengan lebih fokus. Antaranya penyelidikan yang lebih relevan serta mampu memberi pulangan kepada negara.
Ketika ini, UTM sedang merintis kerjasama penyelidikan dengan beberapa universiti terkemuka antaranya Universiti Oxford, Kolej Imperial, London dan Universiti Teknikal Denmark dalam bidang alam sekitar. Kerjasama itu bertujuan meletakkan UTM dalam kelompok 500 universiti terbaik dunia dalam senarai Times Higher Education Supplement (THES). UTM ketika ini berada pada kedudukan 356 iaitu meningkat 60 anak tangga berbanding tahun lepas. Bagaimanapun Zaini menjelaskan, kedudukan THES itu bukanlah sasaran utama kerana ia bukan indikator utama kecemerlangan sesebuah universiti. Penilaiannya juga tidak sepenuhnya relevan dengan keutamaan yang diberikan oleh sesebuah universiti.
Sebagai contoh antara kriteria utama penilaian ialah peratusan tinggi jumlah pelajar dari luar negara. Sedangkan UTM mempunyai kuota pengambilan penuntut tersendiri kerana perlu memberikan keutamaan kepada siswazah tempatan. UTM juga agak terkebelakang dalam kriteria penilaian THES berbanding universiti tempatan lain termasuk dari sudut kursus pengajian yang ditawarkan.
Sebagai sebuah universiti teknikal, kursus pengajian UTM adalah terhad berbanding IPTA lain yang lebih komprehensif. Meskipun tidak dinafikan pengaruh dan kesan positif daripada kedudukan tersebut, namun ia tidak bermaksud UTM perlu mengorbankan matlamat asal semata-mata untuk menempatkan diri dalam kelompok universiti teratas. Bagaimanapun di peringkat tempatan, UTM masih merupakan pendahulu dalam beberapa bidang. Antara yang paling menonjol ialah aktiviti penyelidikan yang progresif apabila berjaya menghasilkan sebanyak 1,120 harta intelek (IP) sehingga kini.
Daripada jumlah itu, terdapat beberapa IP yang berjaya dikomersialkan tidak hanya di peringkat tempatan malah sehingga ke luar negara. Ia termasuk sistem MyLine iaitu aplikasi pengajian bahasa Inggeris dalam talian. Aplikasi ini yang pada mulanya digunakan di UTM kini sudah digunapakai di kesemua 20 buah IPTA di seluruh negara. Malah, ia turut menarik minat beberapa IPT di Arab Saudi yang berhasrat untuk mengimplimentasikannya. Bagaimanapun Zaini mengakui, masih terdapat banyak IP yang tidak dikomersialkan sehingga sampai ke peringkat pengguna.
Perkara itu jelas beliau memerlukan usaha lebih lanjut termasuk kerjasama dengan agensi berteraskan kerajaan (GLC) bagi membolehkan IP itu berjaya dikomersialkan. Di samping itu, UTM juga berjaya melahirkan mahasiswa yang menepati kehendak pasaran kerja. Sebagai contoh bagi graduan UTM yang menamatkan sesi pengajian sesi terbaru misalnya, 80 peratus daripada mereka berjaya diserapkan dalam industri. Penekanan turut diberikan kepada penerbitan makalah berwasit di kalangan pensyarah yang diindekskan dalam jurnal antarabangsa seperti ISIS dan Scorpus.
Ketika ini sangat sukar untuk mencari jurnal penyelidikan saintis tempatan yang dijadikan wasit atau rujukan oleh saintis di seluruh dunia. Perkara itu jelas Zaini bukan bermaksud kajian saintis tempatan tidak bertaraf antarabangsa. Sebaliknya, apa yang membezakannya barangkali bagaimana kaedah penyelidikan itu dihasilkan. Saintis luar misalnya, memastikan penyelidikan mereka ditulis dan disiarkan di dalam jurnal antarabangsa. ''Ia membolehkan kajian itu dijadikan rujukan oleh saintis lain di seluruh dunia dalam tempoh waktu tertentu,'' tambah Zaini.
Di samping itu, kajian yang dijalankan juga membabitkan beberapa pihak termasuk industri secara langsung. Meskipun kajian itu tidak sepenuhnya digunakan oleh industri berkenaan, namun rangkaian yang dibina itu secara tidak langsung menunjukkan kepentingan dan manfaat kajian yang dijalankan.Malangnya, perkara seperti ini tidak berlaku di kalangan saintis tempatan. Kebanyakan penyelidik kita terkongkong dalam kajian mereka dan tidak bekerjasama dengan pelbagai pihak terutamanya industri. Ia secara tidak langsung merugikan pihak saintis tempatan sendiri.
Seharusnya dalam ruang komunikasi yang tidak terhad dengan adanya Internet ketika ini, kajian itu boleh diperluas dan dirangkaikan dengan lebih luas dan mudah.
Wednesday, April 8, 2009
UTM menuju institusi penyelidikan
Source: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm
0 comments:
Post a Comment